Tapai ialah sejenis penganan yang dibuat daripada pulut. Terdapat 2 jenis tapai iaitu
tapai ubi dan
tapai pulut. Biasanya tapai pulut lebih popular jika dibandingkan dengan tapai ubi.
Bahan-bahan untuk membuat tapai tidaklah terlalu rumit. Tapai pulut memerlukan bahan seperti
pulut,
ragi dan sedikit
gula.
Ketiga-tiga bahan ini hendaklah dicampurkan sehingga sebati.
Kemudiannya akan dibungkus sedikit-sedikit dengan menggunakan daun yang
disebut sebagai daun tapai. Tetapi pada zaman ini, daun tapai semakin
sukar didapati dan kebanyakan tapai dibungkus dengan menggunakan daun
pisang.
Terdapat sedikit perbezaan rasa antara tapai yang dibungkus
dengan daun tapai dan tapai yang dibungkus dengan daun pisang.
Tapai yang telah siap dibungkus dimasukkan ke dalam pasu tempayan
yang besar dan ditutup dengan kain. Setelah diperam dan disimpan selama 2-3
hari, tapai itu akan masak dan barulah boleh dimakan. Tapai yang telah
masak mengeluarkan air yang sangat manis. Air tapai ini boleh diminum
dan juga boleh dijadikan sebagai ubat tradisional.
Orang tua zaman dahulu juga mempunyai pantang larang apabila hendak
membuat tapai. Apabila tapai sedang dibungkus, seseorang itu tidak boleh
memakan sirih atau mendekatkan dengan benda-benda yang berwarna merah.
Jika pantang larang ini dilanggar, tapai tersebut akan berwarna merah
dan rasanya tidak sedap. Seseorang itu juga tidak boleh memakan benda
yang masam ketika membungkus tapai kerana ia akan menyebabkan tapai
menjadi masam. Bagi wanita yang 'datang bulan' juga tidak boleh membuat
tapai ini kerana rasa yang akan terhasil daripada pembuat tadi tidak
'jadi'atau masam dan sebagainya.
Tapai yang telah masak juga tidak boleh disimpan lama, masanya adalah
lebih kurang dalam 2 hari sahaja dan kerana rasanya yang terlalu manis
biasanya sesuai dimakan pada waktu tengah hari sebagai pencuci mulut,
dan sekiranya mahu menambahkan lagi kesedapan tapai, tapai itu boleh
dicampurkan dengan santan kelapa dan dimasukkan sedikit ais.